ULASAN : Pembaharuan yang dijangka akan membawa revolusi terhadap sektor pertanian adalah bioteknologi dan nanoteknologi – sekiranya teknologi ini berjaya mencipta inovasi yang
meningkatkan produktiviti atau menemui kegunaan baru bagi tumbuh-tumbuhan negara. Untuk merevolusikan sektor pertanian ini, kerajaan mewujudkan `sektor pertanian yang berpandukan sains' melalui penyelidikan bioteknologi, nanoteknologi dan penerapan ICT.
Sebagai contoh, potensi bioteknologi terletak :
(i) kemampuannya meningkatkan produktiviti pertanian;
(ii) meningkatkan nilai tambah keluaran yang berasaskan bio (seperti phytomedicines, perasa dan pewangi, biopesticides dan pharmaceuticals (nutraceuticals); dan
(iii) melahirkan pelbagai keluaran baru.
Kekayaan bio-diversiti di Malaysia masih merupakan faedah berbanding negara yang masih belum digemblengkan sepenuhnya. Kefahaman kita ke atas setiap flora dan fauna dari segi potensi kegunaannya masih belum diterokai dengan meluas. Revolusi Hijau mengambil masa dua dekad untuk membawa perubahan di Asia. Begitu juga bioteknologi, ia mengambil beberapa dekad untuk membawa impak yang besar kepada pertanian di Amerika Syarikat dan Eropah.
Sama ada Malaysia mampu mencari jalan yang singkat untuk menembusi ‘sempadan ilmu' ini masih tidak dapat diduga ketika ini. Ini adalah kerana, setakat ini masih belum ada penemuan yang menyerlah atau ketara yang mampu melonjakkan sektor makanan negara ke tahap yang lebih tinggi. Memang ada penemuan penyelidikan yang dicapai oleh institusi penyelidikan tempatan, tetapi pengeluaran makanan negara masih belum mampu bersaing walaupun dengan negara yang kurang maju berbanding dengan Malaysia seperti Thailand dan Vietnam. Dari segi eksport makanan, Thailand berjaya menembusi pasaran eksport dalam sector buah-buahan, makanan proses dan keluaran perikanan. Malaysia bagaimanapun menunjukkan beberapa pencapaian dalam bidang bioteknologi untuk komoditi kelapa sawit, getah dan koko.
No comments:
Post a Comment